Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendedahkan laporan bedah siasat terperinci kepada umum berhubung insiden kematian kucing di Universiti Malaya (UM).
Ini kerana, kata Taufiq, terdapat perbezaan dalam laporan antara doktor haiwan swasta dan JPV berhubung insiden itu.
Selain itu, ia bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang spekulasi lanjut.
“Seorang doktor haiwan swasta mendakwa bahawa kecederaan pada kucing disebabkan oleh objek tajam, manakala pihak polis melalui semakan rakaman litar tertutup (CCTV) menyatakan bahawa kucing-kucing tersebut diserang oleh anjing liar.
“JPV pula mengesahkan bahawa kecederaan adalah konsisten dengan serangan haiwan liar.
“Mengapa terdapat perbezaan dalam laporan antara doktor haiwan swasta dan JPV,” soal Taufiq dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kematian tragis tiga kucing jalanan di UM dengan empat kakinya seperti dipotong dan perutnya terburai sejak 16 Disember lalu, mencetus persoalan dan mengundang kemarahan masyarakat terutama pencinta kucing.
Walaupun pihak polis telah mengesahkan kematian tiga kucing berkenaan adalah akibat serangan anjing liar, namun banyak pihak menyifatkan cara kematian itu ngeri, meragukan dan ‘tidak masuk akal’ berikutan kaki kucing terpotong seperti menggunakan senjata tajam umpama didera manusia kejam dan bukannya kesan gigitan anjing.
Dalam kenyataan sama, Taufiq juga menyokong gesaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyeru agar siasatan menyeluruh dan tindakan segera diambil berhubung insiden itu.
Tegasnya, kekejaman terhadap haiwan adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima masyarakat.
“Saya melahirkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap insiden tersebut.
“Justeru itu, saya menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu jika didapati bersalah,” katanya.
Baca juga: