ALOR GAJAH: Tujuh termasuk seorang pemandu bas persiaran maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, kira-kira 8.45 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki lapan penumpang, termasuk tiga kanak-kanak, bas persiaran yang membawa 29 penumpang termasuk dua pemandu dan sebuah treler dinaiki dua penumpang.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan, dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Alor Gajah dengan keanggotaan 27 anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.
“Setakat ini, lima mangsa yang menaiki Toyota Estima dan seorang pemandu bas persiaran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya, memetik Berita Harian.
Beliau berkata, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang terbabit masih dijalankan anggota pasukan penyelamat.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Susulan kejadian itu, lebuh raya dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat sesak lebih 10 kilometer disebabkan kenderaan menghalang laluan.
Sementara itu, PLUS menerusi perkongsian di X memaklumkan, sehingga jam 11.27 malam tadi, semua lorong arah utara dan lorong kanan masih terhalang.
“Trafik terhenti 10 kilometer (km) arah utara dan sesak enam km arah selatan.
“Kenderaan menuju ke utara dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ayer Keroh. Rancang perjalanan anda. Pandu berhati-hati,” katanya.
Baca juga: