Ahli UMNO hadir Himpunan Najib tanggung risiko sendiri – Zahid

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu yang hadir pada himpunan solidariti bersama Datuk Seri Najib Razak esok atas kapasiti individu perlu menanggung risiko sendiri.

Ahmad Zahid berkata, arahan dikeluarkan Setiausaha Agung parti adalah berdasarkan arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara.

“Kalau hadir secara individu kita serahkan kepada ahli UMNO untuk mengambil risiko kerana arahan yang dikeluarkan mempunyai alasan tersendiri dan harus dipatuhi.

“Kita harap tidak ada penganjur daripada mana-mana bahagian, atau cawangan yang turut terbabit secara rasmi di perhimpunan berkenaan,” katanya memetik laporan media tempatan.

Pada 3 Disember lalu, UMNO membatalkan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan presiden parti itu.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu selaras dengan prinsip menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai cadangan untuk memberi keampunan atau pengurangan hukuman kepada mana-mana banduan, serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.

Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan akan sentiasa menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda dalam isu berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, polis akan melaksanakan beberapa sekatan jalan raya (SJR) di jalan-jalan masuk ke Putrajaya bagi menghalang orang ramai menyertai himpunan esok.

Katanya, ini kerana, perhimpunan itu dilaporkan tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah, sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat