Zahid mohon pengampunan penuh diberikan kepada Najib

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon ihsan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan keampunan sepenuhnya terhadap kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli UMNO dan para penyokong lain kerana tidak lelah mendoakan agar Najib mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Datuk Seri Najib.

“UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam kenyataannya, Zahid juga berterima kasih kepada Sultan Pahang atas perkenan Titah Adendum yang mengesahkan penahanan Najib dalam rumah (house arrest) sebagai sah dan wujud.

Katanya, titah adendum tersebut membuktikan kebenaran afidavit tambahan yang menyokong petisyen Najib.

Untuk info, Najib telah menerima hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Anda Mungkin Berminat