PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat di Wilayah Autonomi Xizang, China.
Beliau turut membawa harapan dan doa rakyat Malaysia adalah untuk mangsa, keluarga serta komuniti yang sedang menghadapi kehilangan dan kehancuran.
“Kami berharap mereka diberikan kekuatan, keberanian dan sokongan yang diperlukan untuk bertahan dan pulih pada masa yang sukar ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menyatakan solidariti Malaysia dengan kerajaan dan rakyat China dalam usaha mereka menangani bencana tragis ini.
Ucapan takziah beliau turut dilanjutkan kepada Nepal yang turut merasai gegaran gempa bumi tersebut, di mana kedua-dua negara kini menghadapi cabaran untuk membina semula dan pulih selepas bencana ini.
Terdahulu, satu gempa bumi dahsyat telah berlaku di wilayah Tibet dan mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang pada Selasa, lapor media kerajaan dengan gegaran turut dirasai di ibu negara Nepal, Kathmandu dan beberapa bahagian di India.
Gempa bumi kuat melanda daerah Tingri dengan magnitud 6.8 berhampiran sempadan Nepal pada 9.05 pagi, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).
Kajian Geologi AS melaporkan gegaran itu berukuran 7.1 magnitud.
Baca lagi: