Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang menuduh kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyembunyikan kewujudan titah adendum.
AMK mendakwa tuduhan tersebut adalah cubaan untuk mencemar reputasi Perdana Menteri serta kerajaan.
Justeru, AMK akan membuat laporan polis di seluruh negara esok terhadap beberapa pemimpin pembangkang.
“Ia termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan S. Subramaniam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut AMK, dokumen adendum yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan oleh Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Jabatan Penjara untuk memendekkan tempoh hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak kepada 23 Ogos 2028.
“Kedua, mengurangkan jumlah denda kepada RM50 juta. Kerajaan melalui Jabatan Penjara hanya menjalankan tugas berdasarkan prosedur rasmi dan dokumen sah yang diterima daripada Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024.
“Selanjutnya, apabila Pejabat Istana Pahang mengesahkan kewujudan titah adendum, Jabatan Peguam Negara membenarkan pembuktian dokumen itu di mahkamah,” katanya.
Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Semakan kehakiman itu adalah satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
Susulan itu, ramai termasuk parti politik pembangkang mempertikaikan sekiranya kerajaan telah menyembunyikan kewujudan titah adendum berkenaan dan mendesak ia dijelaskan secara terperinci.