Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada pihak penganjur dan peminat badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena ketika pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, pada Selasa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, kebocoran titisan hujan pada bumbung yang terkena gelanggang adalah kerana proses penggantian bumbung lama iaitu sejak 1998, kepada yang baru telah dibuat pada pertengahan 2024.
“Proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.
“Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kejohanan Terbuka Malaysia terpalit dengan insiden memalukan apabila bumbung di Axiata Arena mengalami kebocoran akibat hujan lebat pada hari pertama semalam.
Antara perlawanan yang terjejas adalah membabitkan beregu wanita negara, Go Pei Lee-Teoh Mei Xing yang sedang berdepan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.
Acara perseorangan lelaki antara Brian Yang dari Kanada menentang pemain India HS Prannoy turut terganggu.
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan kontraktor menjalankan kerja-kerja pembaikan semula pada jam 4.30 petang semalam dan gelanggang berjaya digunakan semula pada jam 8 malam.
“Usaha tambahan turut dilakukan pada sebelah malam untuk memastikan insiden serupa tidak berulang sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya lagi.
Katanya, PSM turut menempatkan lebih 10 kakitangan untuk memantau keadaan bumbung sepanjang kejohanan berlangsung.
Ilyas turut berkata, kerjasama dengan JKR dan kontraktor diteruskan untuk menyelesaikan isu itu dengan segera.
Baca juga: