PETRA serah enam projek siap kepada Johor

Oleh: Hanim Nadia

KLUANG: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyerahkan enam projek siap bernilai RM186.1 juta kepada kerajaan Negeri Johor.

Menurut PETRA, projek yang diserahkan oleh Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah itu melibatkan lima projek Jabatan Pengairan dan Saliran (Sumber air) dan satu projek Jabatan Bekalan Air (Bekalan air).

“Lima projek JPS tersebut adalah projek menaiktaraf empangan Bekok, Johor (RM17.8 juta), projek menaiktaraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir negeri Johor (RM2.7 juta), projek penambahbaikan pemecah ombak di Pengkalan Ser Menanti Laut, Muar (RM1.8 juta), projek menaiktaraf sistem saliran mesra alam sungai Suloh, daerah Batu Pahat (Pakej 1) (RM3.6 juta) dan projek pembinaan U-shape konkrit dari Sungai Batu ke Pekan Semerah – kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran mesra alam Peserai dan kerja-kerja berkaitan daerah Batu Pahat (RM7.7 juta).

“Manakala, satu projek JBA melibatkan projek penyaluran air mentah Layang 2, Johor bernilai RM152.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyerahan projek itu diserahkan Akmal pada hari kedua Jelajah PETRA Skuad Zon Selatan (Johor) di Ulu Penggeli, Kluang, Johor pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA sentiasa komited dalam pelaksanaan projek-projek diluluskan untuk negeri Johor melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Task Force Isu Bekalan Air dan Tebatan Banjir di negeri itu.

“Penubuhan ini bertujuan menyelaras isu-isu yang timbul semasa peringkat pra-pelaksanaan projek seperti pengambila tanah, kebenaran merancang (KM) dan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek bekalan air dan tebatan banjir dapat disegerakan di tapak,” katanya lagi.

Untuk rekod, di bawah Rolling Plan Kelima (RP-5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), sebanyak 12 projek dengan kos keseluruhan RM5.64 bilion serta peruntukan tahun 2025 (RM224.8 juta) telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PETRA bagi negeri Johor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat