Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Kerajaan akan memperluaskan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui penggunaan MyKad ke Sabah dan Sarawak mulai esok, berbanding hanya di Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), mekanisme yang seragam itu adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, di mana bantuan diberikan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelasnya, kadar bantuan SARA telah ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025 berbanding RM1,200 pada tahun lalu.
“Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025.
“Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MOF turut memaklumkan bahawa penambahbaikan kepada SARA itu merangkumi peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun 2024.
“Bantuan tambahan SARA ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan, manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” katanya.
Di bawah program SARA, penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di lebih 1,200 kedai runcit berdaftar di seluruh negara.
Baca juga: