Fahmi harap laporan media tempatan tembusi ASEAN

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berharap agar laporan media tempatan (Malaysia) sepanjang tempoh memegang Pengerusi ASEAN ini dapat sampai ke semua organisasi media ASEAN lain.

Ini termasuk maklumat dan laporan berita daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi Kepengerusian ASEAN.

“Komitmen kita adalah memastikan setiap laporan berita dan maklumat daripada Malaysia sampai kepada setiap sudut Asia Tenggara melalui kerjasama erat dengan organisasi media ASEAN,” katanya memetik laporan media tempatan.

Beliau memuji usaha Bernama dan RTM atas kejayaan mereka dalam melaksanakan tugas sebagai penyelaras media dan penyiar rasmi dengan mengutamakan sidang kemuncak ASEAN dan memastikan liputan berjalan lancar.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menekankan pentingnya memperkukuh hubungan antara media Malaysia dan rantau ASEAN, bukan sahaja di kalangan agensi media kerajaan tetapi juga media lain.

Selain itu, beliau mencadangkan satu perhimpunan media dari rantau ASEAN sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada bulan Mei nanti.

Ia bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama serta mengenal pasti cabaran terkini dalam industri media.

“Hasil daripada perhimpunan ini diharap dapat merapatkan lagi hubungan dan menggalakkan pembacaan lebih banyak berita dan laporan dari rantau Asia Tenggara,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat