MIXUE Perjelas Isu Halal Di Salah Satu Cawangan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: MIXUE Malaysia Sdn Bhd tampil menjelaskan isu yang timbul berkaitan status halal di salah satu cawangan mereka.

Menerusi satu kenyataan rasmi MIXUE, isu tersebut timbul berpunca daripada penggunaan plastik sampah yang dibeli melalui platform dalam talian.

Mengulas lanjut, didapati plastik sampah berkenaan dilabel dengan tulisan tidak sesuai dan boleh menimbulkan keraguan.

“Walaupun plastik tersebut hanyalah pembungkusan sampah dan tidak terkait dengan penyediaan makanan, kami memgambil isu ini dengan sangat serius.

“Kami memohon maaf atas sebarang kebimbangan yang timbul akibat perkara ini,” katanya pada Selasa.

Sebagai langkah bertanggungjawab, MIXUE telah mengambil beberapa tindakan segera untuk menangani isu berkenaan.

Antaranya, memohon pelaksanaan proses sertu (pembersihan mengikut hukum syarak) di cawangan terlibat bagi memastikan kebersihan dan pematuhan penuh terhadap standard halal.

Selain itu, MIXUE turut menghentikan penggunaan plastik tersebut serta mengkaji semula prosedur pembelian untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

“MIXUE ingin menegaskan bahawa semua bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan produk mereka adalah daripada sumber yang halal dan mempunyai sijil halal yang sah.

“Kami kekal komited untuk memastikan kebersihan, kualiti dan pematuhan halal di semua cawangan kami.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta kepercayaan berterusan anda,”tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat