SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila diserang seekor ikan gergasi dalam kejadian di sebuah taman air baru-baru ini.
Berdasarkan video tular, pekerja wanita dikenali sebagai Masha yang memakai kostum puteri duyung itu pada mulanya dilihat bermesra dengan pengunjung, ketika berada di dalam tangki akuarium di Xishuangbanna Primitive Forest Park, dekat Yunnan, China.
Namun, secara tiba-tiba seekor ikan yang kebetulan berada berhampiran dengannya bertindak menyerang kepala wanita warga Rusia berusia 22 tahun itu.
Ikan tersebut bertindak agresif dengan merapatkan rahangnya pada sekeliling muka wanita itu, sekali gus menyebabkan pengunjung yang menyaksikan insiden tersebut menjerit ketakutan.
Bagaimanapun, wanita itu sempat menyelamatkan dirinya sebelum dia mengalami kecederaan lebih teruk.
Sementara itu, media Rusia melaporkan bahawa, wanita tersebut dipaksa masuk semula ke dalam akuarium meskipun mengalami kecederaan.
Dia ditawarkan hanya kira-kira £78 (RM426) sebagai ganti rugi atas serangan itu, namun dilarang untuk mendedahkan mengenai perkara tersebut kepada umum.
Sehingga kini, tiada laporan mendedahkan jenis ikan yang melakukan serangan berkenaan. — Agensi/Daily Mail