ASEAN-Turkiye kerjasama bina semula Gaza

PUTRAJAYA: ASEAN dan Turkiye sepakat untuk bekerjasama dalam pembangunan semula Palestin termasuk dalam isu kemanusiaan selepas kemusnahan besar di wilayah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memastikan sokongan diberikan mencukupi selepas pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada 19 Januari lalu.

“Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada bulan lalu telah mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Luar Negeri di mana mereka menegaskan posisi itu.

“Kami (Negara-negara ASEAN) terus berhubung mengenai perkara ini supaya kami dapat memberikan sokongan yang mencukupi untuk inisiatif bersama Jepun atau kepimpinan dalam pembinaan semula segera,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa, memetik laporan media tempatan.

Malaysia sebelum ini menyokong penuh dan menyatakan komitmen terhadap insiatif Jepun menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.

CEAPAD adalah kerangka persidangan serantau yang dimulakan Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembangunan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.

Menyokong hasrat itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, kedua-dua negara mempunyai pendirian sama dalam memberikan segala bentuk sokongan terutama dari segi kewangan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas berkaitan untuk memulihkan semula kehidupan penduduk Gaza.

“Saya percaya bahawa kedua-dua negara mempunyai pendirian yang sama dalam hal sokongan kewangan dan bahawa kita dapat memberikan segala bentuk bantuan kewangan yang diperlukan. Kita sudah membincangkan perkara ini selama bertahun-tahun.

“Bukan sahaja di Palestin, tetapi juga di Syria, infrastruktur dan kemudahan asas musnah sepenuhnya. Keadaan di sana amat teruk dan memerlukan pemulihan segera dan dalam langkah yang akan kita ambil, kita perlu menilai apa yang boleh dilakukan dalam aspek pembangunan semula infrastruktur dan kemudahan asas,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat