PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menolak sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerugian yang dialami daripada penjualan itu.
Menurut kenyataan rasmi KWSP, tuduhan tersebut adalah tidak berasas.
“Selaras dengan Polisi Chinese Wall KWSP, terdapat sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam dan pasukan yang mengendalikan pelaburan pasaran awam bagi memastikan tiada pertindihan maklumat di antara kedua-duanya.
“Pasukan pelaburan pasaran awam beroperasi secara bebas dan membuat keputusan dagangan hanya berdasarkan maklumat yang tersedia secara umum,” katanya pada Rabu.
KWSP juga mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan terhadap pelaburannya dalam MAHB serta kekal komited terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Sebelum ini, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.

Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga MAHB oleh KWSP.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Anthony dan individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat itu.
Katanya, prosiding dijangka akan bermula minggu kedua Februari.
Baca juga: