Kerajaan anjur Himpunan 25K Huffaz, angkat martabat pelajar tahfiz

PETALING JAYA: Kerajaan akan sekali lagi menganjurkan Himpunan 25K Huffaz pada tahun ini, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, acara itu bertujuan meraikan para huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat serta simbol kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan pendidikan tahfiz.

“Setakat ini, sebanyak 55,000 pelajar tahfiz mengikuti pengajian di bawah bimbingan 8,000 tenaga pengajar berdedikasi.

“Minat masyarakat terhadap pendidikan tahfiz semakin meningkat, mencerminkan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pembinaan generasi al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, perkembangan institusi tahfiz di Malaysia kini berada pada tahap yang membanggakan dengan wujudnya 18 Maahad Tahfiz Negeri dan 1,058 Maahad Tahfiz Swasta di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, institusi huffaz akan terus dimartabatkan sebagai pusat pembentukan generasi rabbani, ujarnya.

Himpunan 24K Huffaz pertama kali diadakan pada 14 September tahun lalu dengan perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Ahmad Zahid juga mengumumkan bahawa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN 2.0) sedang dirangka untuk memastikan sistem pendidikan tahfiz di Malaysia lebih tersusun, berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.

Jelasnya, inisiatif itu menumpukan kepada penambahbaikan kurikulum, penyelarasan akreditasi serta peningkatan infrastruktur dan sumber kewangan.

“Kerajaan komited untuk memastikan institusi tahfiz tidak hanya melahirkan penghafaz al-Quran tetapi juga individu dengan kemahiran intelektual dan teknikal yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara,” tambahnya.

Dalam usaha memperkukuh pengiktirafan terhadap huffaz, kerajaan telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) yang menilai hafazan 30 juzuk serta ilmu Islam yang berkaitan.

Selain itu, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) diperkenalkan sebagai pengiktirafan rasmi kepada huffaz berdasarkan tahap hafazan yang dicapai.

Di mana, peperiksaan itu dijalankan dua kali setahun dan dianugerahkan oleh Darul Quran Jakim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menekankan inisiatif TVET-Tahfiz yang merupakan langkah baharu dalam sistem pendidikan negara.

“Ia sebagai peluang untuk para huffaz menceburi bidang teknikal dan vokasional tanpa mengorbankan keunggulan mereka sebagai penghafaz al-Quran,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050, menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia.

Anda Mungkin Berminat