Suntikan vaksin percuma buat bakal haji 65 tahun ke atas

PETALING JAYA: Bakal haji berusia 65 tahun ke atas serta individu yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan kini boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih mengikut janji temu yang telah ditetapkan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 247 klinik kesihatan di seluruh negara telah dikenal pasti bagi memastikan kelancaran program itu.

Katanya, untuk maklumat lanjut, bakal haji boleh mengakses aplikasi MySejahtera atau laman rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) di www.tabunghaji.gov.my.

Menurutnya lagi, janji temu bagi vaksin Covid-19 boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari, manakala suntikan boleh diambil bermula 17 Februari (Isnin).

Tambah KKM, peringatan janji temu akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera sehari sebelum tarikh janji temu.

“Bakal haji yang tergolong dalam kumpulan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan terpilih setelah mendapat konsultasi daripada pegawai perubatan,” jelas KKM dalam satu kenyataan pada Sabtu.

KKM turut berkata, bakal haji berusia 65 tahun ke atas serta individu berisiko tinggi perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza.

Katanya, suntikan itu boleh didapati di fasiliti awam yang disenaraikan dalam aplikasi MySejahtera atau fasiliti swasta yang boleh memuat naik Sijil Digital Vaksinasi ke dalam aplikasi MySejahtera.

Kata KKM, selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini, bakal haji warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih.

Tambah kenyataan itu, janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari dengan suntikan bermula 18 Februari (Selasa).

“KKM akan terus bekerjasama dengan TH untuk memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Vaksinasi Bakal Haji 1446H/2025M berjalan dengan lancar.

“Sebarang pertanyaan lanjut mengenai maklumat terkini dan panduan berkaitan vaksinasi boleh diajukan kepada KKM atau TH,” tambah KKM.

Menurut ketetapan Kerajaan Arab Saudi, semua bakal haji diwajibkan menerima suntikan vaksin Meningococcal.

Sementara itu, suntikan vaksin Covid-19 dan vaksin influenza diwajibkan kepada kumpulan sasar tertentu.

Anda Mungkin Berminat