AKPS KLIA Gagal Cubaan Bolos 12 Warga Asing, Lima Pegawai Disiasat

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan 12 warganegara asing untuk bolos keluar dari Malaysia.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memberitahu, dari jumlah tersebut, tiga merupakan warganegara Vietnam dan sembilan dari Kemboja.

Katanya, kesemua warga asing itu cuba lolos melalui Terminal 2 KLIA pada 28 Januari dan 12 Februari lalu.

“Mereka dikesan oleh Pasukan Pemantau AKPS KLIA di ruang menunggu sebelum memasuki pesawat di Terminal 2 KLIA selepas pergerakan mereka diragui.

“Siasatan awal mendapati bahawa kesemua warganegara asing ini memiliki cap keluar dan masuk yang dipercayai tidak tulen dan diperolehi secara tidak teratur serta telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 56(1)(1) dan Seksyen 15(1)(C), Akta Imigresen 1959/63.

“Lanjutan itu, ketiga-tiga warga Vietnam telah diusir keluar manakala sembilan lagi warga Kemboja masih ditahan reman untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Dalam pada itu, AKPS KLIA juga bertindak menukar segera lima orang pegawai yang disyaki terlibat.

Katanya, pegawai-pegawai tersebut sedang disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Penjawat Awam 1990.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“Tindakan ini sebagai merupakan langkah pencegahan berterusan AKPS KLIA serta membuktikan keberkesanan Pasukan Pemantau dalam memperkukuh integriti pasukan, keselamatan dan kecekapan di lapangan terbang utama negara,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat