Op Hazard: 15,764 metrik e-waste disita

PARLIMEN | Sebanyak 15,764.9 metrik tan sisa elektronik dan elektrik (e-waste) dianggarkan bernilai sekitar RM55 juta berjaya disita dalam operasi penguatkuasaan Op Hazard yang dijalankan di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan bahawa serbuan yang dilakukan mendapati 30 premis beroperasi secara haram, selain tujuh premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS), tiga premis berlesen oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta sebuah gudang haram.

“Sebahagian besar premis ini terletak di kawasan industri, namun ada juga yang beroperasi di luar kawasan tersebut seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan.

“Kebanyakan premis ini beroperasi secara tidak sah tanpa lesen daripada PBT.

“Malah, operasi kilang-kilang ini dikendalikan oleh warga asing yang menggunakan tenaga kerja daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau pekerja yang menyalahgunakan permit kerja,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir di Dewan Rakyat pada Khamis.

Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa sebanyak 37 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 kerana beroperasi tanpa alat kawalan pencemaran yang diperlukan.

Selain itu, pihak berkuasa turut mengeluarkan 59 Notis Arahan serta 27 kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sebanyak 52 kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah terhadap pihak yang terlibat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat