PM terima kunjungan hormat Gabenor Guangxi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Guangxi, Lan Tianli dan delegasi di pejabat beliau di Putrajaya pagi tadi.

Menurut Anwar, lawatan itu mencerminkan hubungan mendalam dan terjalin lama antara Malaysia dan China, terutamanya dengan Guangxi sebagai rakan wilayah yang penting.

“China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah USD106.04 bilion (RM484.12 bilion), manakala Guangxi sebagai pintu masuk China ke ASEAN memainkan peranan penting memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia menantikan Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 April ini.

“Justeru, kami turut bertukar pandangan antaranya terkait dengan potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN termasuklah pengukuhan kerjasama kecerdasan buatan (AI) dan Digital,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab kepimpinan AI serantau dan menjemput perusahaan AI terkemuka China mempertimbangkan untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di sini.

“Selain itu, kami turut menyentuh usaha-usaha memajukan Inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ melibatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang mana terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan pewujudan lebih 10,000 peluang pekerjaan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, sehingga kini sebanyak RM20.77 bilion telah direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan telah diwujudkan.

“Ini menunjukkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia,” katanya.

Anwar berharap hubungan diplomatik Malaysia dan China terus berada pada tahap matang sehingga mampu menghadapi sebarang isu dan cabaran mendatang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat