PETALING JAYA: Pemergian allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima telah meninggalkan legasi yang tidak ternilai dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, allahyarham dikenali sebagai pemimpin berjiwa besar dan telah mencurahkan bakti sejak usia muda dengan memperjuangkan agenda pendidikan melalui aktivisme dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai (PPMPPSP) serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Tambahnya, ketika menjawat jawatan Menteri Pelajaran (1984-1986), allahyarham memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang menjadi asas kepada sistem pendidikan moden negara.
“Beliau (allahyarham) juga menubuhkan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah (1985) dan memperkasakan profesionalisme keguruan melalui Institut Pengurusan Pendidikan Negara (IPPN), kini dikenali sebagai Institut Aminuddin Baki (IAB).
“Perkembangan pesat IPPN di bawah kepimpinannya membawa kepada pembukaan kampus di Genting Highlands,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Fadhlina berkata, sebagai Perdana Menteri suatu ketika dahulu, allahyarham melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010), yang bertujuan membina negara bangsa melalui sistem pendidikan berkualiti tinggi.
Menurutnya, Gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan beliau turut memenuhi citra masyarakat kontemporari, manakala inisiatif seperti J-Qaf memperkukuhkan Pendidikan Islam di negara ini.
“Begitulah antara sumbangan besar allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada pendidikan negara dan pembangunan modal insan.
“Bersemadilah dalam tenang wahai negarawan berjiwa besar. Semoga Allah SWT mengangkat darjat mu serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan telah meninggal dunia pada pukul 7.10 malam Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.