PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pihak media Kwong Wah Yit Poh berhubung laporan berkaitan gambar bendera Malaysia tidak lengkap sifatnya yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi organisasi media tersebut hari ini.
MCMC dalam kenyataan rasmi menegaskan, siasatan kini sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) khususnya menerusi Seksyen 233 yang merangkumi kesalahan berkaitan penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama
sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya
perlu dan berkaitan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.
Dalam pada itu, MCMC memberi amaran keras kepada semua pihak termasuk organisasi media dan pengguna awam agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan
yang bersifat mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam
keadaan tidak lengkap sifatnya.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar
peraturan ini.
“MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di
Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan,” tambahnya.
Terdahulu, pendakwah bebas, Firdaus Wong memuatnaik hantaran di Facebook beliau berhubung satu isu Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
“Semalam Sin Chew Daily terbitkan Jalur Gemilang tanpa bulan kemudian meminta maaf. Hari ini, Kwong Wah Yit Poh pula. Barangkali skrin kita kecil tak cukup besar untuk nampak bulan di Jalur Gemilang,” tulisnya di Facebook.
Baca juga: