Sinergi Malaysia-Indonesia perkukuh ekosistem halal serantau dunia

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pengukuhan ekosistem halal serantau terus dipertingkat menerusi sinergi Malaysia–Indonesia di dalam penganjuran ‘Halal Industry Collaboration Roundtable’.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan program terbabit dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan objektif meneroka peluang strategik dalam memperluaskan perdagangan dua hala, pelaburan, serta integrasi rantaian bekalan halal antara Malaysia dan Indonesia.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem halal Malaysia yang telah diiktiraf dunia, malah memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk melonjakkan lagi kesepaduan serantau.

“Platform seperti ASEAN Working Group on Halal Food (AWGAF) dan BIMP-EAGA turut menjadi pemacu sinergi kukuh ke arah membina ekonomi halal yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa kebanggaan terhadap penyertaan PKS Malaysia di Food & Hospitality Indonesia (FHI) 2024, yang dilihat berjaya meraih potensi jualan RM62.57 juta, membuktikan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia di pasaran Indonesia.

Menurut beliau juga, perbincangan antara dua negara itu sepakat melahirkan tiga perkara utama iaitu, pengiktirafan Logo Halal Jakim di Indonesia.

“Kedua-dua negara secara prinsip bersetuju agar logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus boleh digunakan bagi produk halal yang dieksport ke Indonesia tanpa memerlukan prosedur operasi standard (SOP) baharu.”

Selain itu, Malaysia turut bersetuju untuk mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk halal yang dieksport ke negara ini. Ini merupakan satu ‘game changer’ yang signifikan hasil komitmen para pemain industri kedua-dua negara.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Forum dan Majlis Halal Serantau yang bakal dianjurkan bersama Malaysia-Indonesia bagi diperluaskan ke peringkat serantau.

Selain itu katanya, hasrat penubuhan Majlis Halal ASEAN telah disampaikan kepada Sekretariat ASEAN untuk pertimbangan dan persetujuan negara anggota.

“Inisiatif ini bakal memperkukuh ekosistem halal serantau yang inklusif dan berdaya saing,” ujarnya.

Ujarnya lagi, dengan adanya komitmen di antara dua negara itu ekonomi halal serantau dan dunia dapat terus diperkukuhkan melalui strategi yang bersepadu dan saling melengkapi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia yang berakhir dengan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Selasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat