Tiada Tanda Penyakit Berjangkit Pada Bangkai Burung Merpati – DVS

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada bukti penyakit berjangkit pada bangkai burung merpati yang ditemui di kawasan pancuran air Padang Ipoh, baru-baru ini.

Menurut kenyataan DVS, siasatan dijalankan selepas menerima aduan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 4 Mei, disusuli pemeriksaan di lokasi oleh pegawai DVS Perak.

“Hasil bedah siasat ke atas tiga bangkai merpati mendapati kandungan perut burung penuh, selain terdapat perubahan warna hati, darah beku dalam rongga toraks serta pendarahan pada trakea dan paru-paru.

“Sampel organ dalaman telah dihantar untuk analisis makmal dan ujian awal menunjukkan negatif bagi penyakit Avian Influenza (AI), Newcastle Disease (ND) dan Adenovirus.

“Setakat ini, penyakit berjangkit bukanlah faktor kematian merpati dalam kejadian ini.

“Ujian toksikologi oleh Jabatan Kimia sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar,” kata kenyataan itu pada Khamis.

DVS turut memaklumkan bahawa meskipun banyak bangkai burung merpati ditemui di kawasan tersebut, burung-burung lain kelihatan sihat dan sehingga 5 Mei, tiada kematian baru dilaporkan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, DVS akan terus memantau keadaan di Padang Ipoh bagi memastikan keselamatan awam serta melindungi sektor penternakan negara.

Orang ramai digalakkan melaporkan sebarang penemuan bangkai burung atau haiwan mencurigakan kepada DVS negeri berdekatan atau melalui talian hotline 03-8870 2041.

Terdahulu, penduduk Ipoh dikejutkan dengan penemuan sejumlah bangkai burung merpati di Padang Ipoh yang mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan keracunan atau jangkitan penyakit.

Anda Mungkin Berminat