RUU Mufti: Henti sebar kebencian kepada Menteri Agama, Mufti Wilayah – PPSM

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menolak sebarang desakan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mufti Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Presidennya, Abu Suffian Abu Yaziz mendakwa, desakan tersebut bukan amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi, melainkan jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten.

“PPSM menolak sebarang desakan oleh mana-mana pihak supaya Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan dalam melaksanakan tugasnya disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan isu ini.

“Faktanya, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dilakukan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada seperti mana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

“Sewajarnya perbezaan ini menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad di kalangan umat Islam mutakhir ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Abu Hafiz Salleh Hudin melontarkan cadangan agar kedua-dua tokoh terbabit digantikan kerana terkait dengan kontroversi berpanjangan RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, kerajaan perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang lebih baik dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Justeru, kata Abu Suffian, PPSM berharap semua pihak menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan menteri dan mufti.

Katanya, menteri dan mufti terbabit sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran syariah Islam.

“Kembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani, serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit,” katanya.

Tambah Abu Suffian, PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni perbezaan pandangan.

Anda Mungkin Berminat