Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Empat aplikasi perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata dua penyedia perkhidmatan internet telah mendapat lesen mereka iaitu Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok).
“Tencent (WeChat) secara sah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan ia sebagai penyedia perkhidmatan pertama yang dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
“Sebaik WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka.
“Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.
“Manakala Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” jelas MCMC pada Rabu.
Namun begitu, menurutnya aplikasi X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC.
Menerusi kenyataan sama, jumlah penggunaanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.
“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X.
“Berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.
“MCMC telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyediaan platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa,” jelasnya.
Sebagai info, pada 27 Julai 2024, MCMC telah mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.
Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.
Baca juga: