KUCHING: PETRONAS terus memperteguh komitmennya terhadap pembangunan bakat masa depan dengan menaja lebih 100 pelajar Sarawak melalui pelaburan bernilai RM28 juta di bawah program ‘Powering Knowledge’.
Menurut Pengurus Besar Kanan Kepakaran Modal Insan, Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Akmal Niza Ahmad, pelaburan itu bertujuan menyokong pengajian pelajar di institusi terkemuka dalam dan luar negara.
“Di PETRONAS, pendidikan sentiasa menjadi tunggak utama dalam usaha kami membina negara.
“Melalui inisiatif ‘Powering Knowledge’, kami menyokong pelbagai program yang memperkasa rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat,” katanya memetik laporan Berita RTM.
Beliau berkata, PETRONAS turut berbangga dengan pencapaian penerima biasiswa dari Sarawak yang kini mendapat pendedahan antarabangsa.
Katanya, daripada tujuh pelajar Universiti Teknologi PETRONAS yang menjalani latihan industri di ibu pejabat Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team di Brackley, United Kingdom, dua daripadanya adalah anak Sarawak.
Inisiatif ini mencerminkan keyakinan PETRONAS bahawa kekuatan sebenar negara terletak bukan hanya pada sumber asli tetapi juga pada semangat, nilai dan idea rakyatnya.
Agenda pembangunan bakat ini selari dengan usaha PETRONAS membina tenaga kerja masa depan yang bersedia menghadapi perubahan dinamik dalam landskap tenaga global bagi meneruskan peranan syarikat sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh.