Barang Melekat Di Dinding? Guru Ini Buktikan ‘Magik’ Sebenarnya Sains

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Tular di TikTok sepanjang minggu ini apabila seorang guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), dikenali sebagai Sensei Sbhn, mempamerkan eksperimen mudah tetapi mencuit hati iaitu sebatang pensil yang kelihatan seolah-olah ‘melekat sendiri’ di dinding.

Fenomena itu pantas mencuri perhatian ramai pengguna media sosial, dengan ada yang teruja dan bertanya, “Eh, betul ke ni ‘magic’ ke?”

Namun, guru berkenaan segera menjelaskan bahawa ia bukanlah magik mahupun sihir, sebaliknya ada penjelasan saintifik di sebaliknya.

“Sebenarnya, dinding kita ada permukaan kasar dengan pori-pori kecil.

“Bila pensil digeser, habuk halus terbentuk, permukaan jadi lebih kesat dan bila ditekan sikit, pensil tu boleh ‘masuk’ ke pori-pori.

“Terus terlekat!” katanya dalam satu video di aplikasi TikTok.

Sensei Sbhn turut berpesan agar murid tidak mencuba aksi itu di sekolah kerana boleh mengotorkan dinding.

“Kalau buat kat rumah sendiri boleh tapi sekolah jangan ya, cikgu nampak ni!” selorohnya.

Video tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya menyampaikan pelajaran sains dengan cara yang menyeronokkan dan mudah difahami.

Rata-rata netizen kagum dengan penerangan itu, menyedari bahawa perkara yang kelihatan ‘magik’ sebenarnya mempunyai asas saintifik yang ringkas tetapi menarik.

Anda Mungkin Berminat