Putin Yakin Perang Rusia-Ukraine Semakin Hampiri Penamat

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin menzahirkan keyakinan bahawa konflik antara Rusia dan Ukraine semakin menghampiri penghujungnya, meskipun keadaan masih dianggap serius.

“Saya fikir perkara ini semakin sampai ke penghujungnya, namun ia tetap satu perkara yang serius,” katanya ketika berucap kepada media selepas menghadiri Perarakan Kemenangan di Dataran Merah, Moscow.

Putin berkata, operasi ketenteraan khas yang dilancarkan Rusia di Ukraine kini berada pada fasa akhir.

Dalam ucapan sempena perarakan itu, beliau turut mempertahankan tindakan Rusia dengan menyifatkannya sebagai ‘perang yang adil’ sambil menuduh Ukraine sebagai kuasa agresif yang menerima sokongan penuh daripada blok NATO.

Perarakan tahunan tersebut berlangsung dalam kawalan keselamatan ketat tanpa menampilkan aset berat seperti kereta kebal dan peluru berpandu sebagaimana kebiasaan sebelum ini.

Pihak berkuasa Rusia dilaporkan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kebimbangan kemungkinan serangan dron oleh Ukraine.

Namun, keadaan berjaya dikawal selepas tercapai gencatan senjata saat akhir antara Moscow dan Kyiv yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali gus meredakan risiko ancaman keselamatan.

Sambutan itu berlangsung tanpa sebarang insiden.

Anda Mungkin Berminat