Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sekiranya Barisan Nasional (BN) masih degil dengan keputusan untuk bertanding solo menjelang Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN 16) di Johor, Pakatan Harapan (PH) tegas dan bersedia untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh negara.
Menerusi kenyataan media pada Selasa, Naib Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, sejak awal lagi PH telah menawarkan rundingan kerjasama demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat Johor termasuklah cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor berdasarkan model yang berjaya dilaksanakan di Melaka.
“Malangnya, cadangan tersebut telah ditolak oleh pimpinan BN Johor yang memilih untuk menutup ruang persefahaman politik demi kepentingan sempit mereka sendiri.
“PH juga pernah memberikan peluang kepada BN untuk bersama berada dalam Kerajaan Negeri di Negeri Sembilan.
“Namun peluang tersebut dikhianati apabila wujud usaha membawa undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Amiruddin Harun),” katanya.
Suhaizan berkata, kerjasama PH dengan BN sebelum ini juga pernah dicontohi di Negeri Sembilan, namun usaha itu dikatakan dikhianati apabila wujud percubaan mengundi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Di peringkat Persekutuan, PH menyalurkan pelbagai peruntukan besar dan projek strategik untuk pembangunan Johor termasuk projek ETS, RTS, JS-SEZ dan pembangunan pusat data, namun usaha kerajaan negeri dikatakan cuba menonjolkan kejayaan seolah-olah berpunca sepenuhnya daripada mereka.
“Sikap ini jelas memperlihatkan keengganan mereka (BN) untuk membina kekuatan bersama serta lebih mengutamakan kepentingan politik parti berbanding kestabilan masa depan negeri,” katanya.
Kata beliau lagi, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut serta memberikan peluang terakhir kepada BN untuk melaksanakan rundingan kerusi khusus bagi negeri Johor.
Justeru tegas beliau, sekarang ‘bola’ berada di tangan BN untuk memilih antara keangkuhan politik atau membina muafakat demi kebaikan rakyat.
“Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat,” katanya.
Terdahulu, keputusan BN Johor bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mengambil kira kerajaan di negeri ini bukan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BN dan UMNO di Johor mempunyai majoriti yang jelas sebelum ini dan keputusan dibuat berdasarkan kedudukan semasa.








