PH Tegas Hargai Peranan Media, Siasat Gangguan Di Konvensyen

PETALING JAYA: Sekretariat Konvensyen Pakatan Harapan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden gangguan terhadap petugas media semasa liputan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru pada Ahad lalu.

Dalam kenyataan media pada Selasa, Sekretariat memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Media Johor (KMJ) berkaitan insiden tersebut.

“Sekretariat memandang serius sebarang dakwaan berkaitan gangguan terhadap tugas pengamal media, termasuk isu melibatkan keselamatan dan kelancaran tugasan petugas media ketika menjalankan tanggungjawab profesional mereka,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan dalaman yang dijalankan bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai insiden yang dibangkitkan termasuk mengambil maklum balas daripada petugas keselamatan, urus setia program dan pihak berkaitan.

“Sekretariat juga akan memberikan kerjasama sewajarnya kepada mana-mana pihak berkuasa sekiranya diperlukan bagi memastikan perkara ini ditangani secara adil dan berhemah,” katanya.

Sekretariat PH dalam kenyataan sama berkata, pihaknya sentiasa menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

PH juga katanya menekankan komitmen untuk menjunjung prinsip kebebasan media serta mengekalkan hubungan profesional antara penganjur dengan pengamal media.

Pada masa yang sama, langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan media dan kawalan keselamatan ketika program-program akan datang dapat dijalankan dengan lebih tersusun, profesional dan harmoni.

Terdahulu, Kelab Media Johor memaklumkan tercetusnya kekecohan apabila skuad keselamatan parti didakwa menghalang petugas media dari Johor dan Kuala Lumpur daripada melakukan liputan.

Kejadian itu dilaporkan mencetuskan pertelingkahan mulut dan insiden tolak-menolak ketika berlangsungnya Konvensyen Parti Harapan 2026 pada Ahad.

Anda Mungkin Berminat