MAKKAH: Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara negara terbaik dalam pengurusan haji apabila sekali lagi menerima Anugerah Labbaitom buat tahun kelima berturut-turut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan menerusi Diamond Award Labbaitom itu mencerminkan kecemerlangan keseluruhan pengurusan musim haji negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen tinggi Lembaga Tabung Haji (TH) bersama seluruh petugas termasuk pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), petugas kebajikan dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
“Kita merakamkan penghargaan kepada pengurusan Tabung Haji serta seluruh petugas yang telah memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi sehingga diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan berterusan TH ialah pendekatan pengurusan yang menggabungkan pengalaman luas dengan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada jemaah.

Katanya, TH turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi digital seperti e-TAIB yang membolehkan pertanyaan jemaah dijawab secara lebih pantas dan berkesan.
Selain itu, pelaksanaan inisiatif seperti Green Hajj dan kempen kebersihan sepanjang musim haji turut menyokong usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kelestarian operasi.
Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli memaklumkan tahap kesihatan jemaah haji Malaysia tahun ini berada dalam keadaan baik hasil persediaan rapi yang dilaksanakan sejak awal.
Beliau menyifatkan anugerah kategori Diamond itu sebagai pencapaian tertinggi yang membanggakan negara dan membuktikan kemampuan Malaysia menguruskan jemaah haji secara cekap, sistematik serta berkesan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja milik Tabung Haji, tetapi juga hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para pendeposit, umat Islam dan jemaah haji negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Haji dan Umrah atas kerjasama erat yang diberikan sepanjang musim haji.
Menurutnya, TH akan terus melaksanakan penambahbaikan berterusan melalui proses penilaian menyeluruh selepas setiap musim haji bagi memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Setiap tahun kita melakukan post-mortem dan meneliti semua maklum balas yang diterima. Pendekatan inilah yang membantu TH mengekalkan kecemerlangan dan terus menjadi penanda aras pengurusan haji di peringkat dunia,” katanya.
Kejayaan meraih Anugerah Labbaitom buat lima tahun berturut-turut sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai model rujukan global dalam pengurusan jemaah haji yang cekap, sistematik dan berteraskan kebajikan.
Baca juga:








