KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat bersama AMK Sabah tampil menghulurkan bantuan kepada lebih 200 ketua isi rumah, melibatkan seramai 1,030 individu yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sabah.
Menurut Pengarah Komunikasi AMK, Nurhanani Dhamirah Razaleh, antara kawasan yang terjejas termasuk Putatan, Penampang, Papar, Kimanis dan Beaufort.
Bantuan digerakkan segera sebaik kejadian berlaku dengan pasukan sukarelawan diketuai Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil dan Ketua Koordinator KHIDMAT MADANI Misi Banjir Sabah, Hilmie Milus.
“Setakat 17 September lalu, bantuan berupa makanan kering, buah-buahan, kit kebersihan, lampin bayi dan barangan keperluan asas sudah diagihkan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kami turun padang bukan hanya untuk menghantar bantuan awal tetapi juga mendengar sendiri keluhan rakyat supaya gerak kerja seterusnya lebih terarah dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa fokus seterusnya adalah melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir khususnya di premis awam yang menjadi nadi komuniti.
“Fasa selepas banjir sama penting kerana ia melibatkan masjid, sekolah dan perpustakaan yang perlu digunakan semula secepat mungkin.
“AMK akan memastikan sukarelawan terus digerakkan,” katanya.








