Polis Selangor Tumpas Sindiket Rokok Seludup, ‘Love Scam’

SHAH ALAM: Dua sindiket jenayah yang aktif dalam penyeludupan rokok dan penipuan atas talian berjaya dilumpuhkan oleh Polis Selangor dalam dua operasi berasingan baru-baru ini.

Ini membuktikan ketegasan pasukan keselamatan dalam membanteras kegiatan haram yang mengancam ekonomi dan keselamatan awam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Selangor serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor.

Menurutnya, dalam operasi pertama yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan di kawasan Sungai Buloh, sepasukan pegawai dan anggota JKDNKA IPK Selangor menyerbu sebuah lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat penyimpanan dan penjualan rokok seludup.

“Serbuan berjaya menahan empat lelaki warga asing berumur 21 hingga 38 tahun serta merampas 8,727 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM639,470.00.

“Serta lapan buah kenderaan termasuk sebuah lori bonded bernilai RM374,600.00, yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM1,014,070.00,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman sehingga 11 November 2025 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Semua suspek direman hingga 11 November 2025 dan akan dicadangkan untuk dituduh di bawah Akta Kastam,” katanya.

Dalam operasi kedua, Shazeli Kahar berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kajang dengan bantuan pakar analisis media sosial dari IPD Klang Selatan menyerbu sebuah premis di Semenyih, Kajang, yang dipercayai menjadi pusat panggilan bagi sindiket penipuan cinta atau ‘Love Scam’.

Beliau berkata, seramai 13 individu bukan warganegara terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan tersebut.

Turut dirampas ialah 11 telefon bimbit dan 11 komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan.

Anda Mungkin Berminat