Kelantan FC bakal selesaikan isu tunggakan gaji

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kelantan FC sudah menghantar dokumen berkaitan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan terbabit kepada pihaknya pada Khamis.

Menurut kenyataan MFL, dokumen berkenaan akan diteliti dan disemak terlebih dahulu oleh badan bebas pelesenan kelab Liga Malaysia, First Instance Body (FIB) sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jelas MFL, pihaknya juga akan mendapatkan pengesahan daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum keputusan rasmi berkenaan pemberian Lesen Kebangsaan kepada skuad The Red Warriors (TRW) diumumkan.

“MFL mengesahkan Unit Pelesenan Kelab MFL menerima dokumen berkenaan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan FC pada Khamis.

“Bagaimanapun segala dokumen berkenaan pembayaran babitkan 30 pemain dan pegawai Kelantan FC itu kini dalam proses semakan oleh FIB.

“Pengesahan pembayaran perlu dilakukan oleh FIB dengan semua pihak yang terbabit termasuk merujuk perkara itu dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Pengesahan pembayaran perlu dilakukan oleh FIB dengan semua pihak yang terbabit termasuk merujuk perkara itu dengan PFAM sebelum membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC bagi saingan Liga Super 2024-2025,” kata MFL lapor Utusan.

Baca juga: