Gaji progresif tangani isu gaji rendah swasta

Dasar Gaji Progresif yang bakal dilaksanakan Jun tahun depan menjanjikan langkah proaktif dalam menangani isu gaji dan upah rendah dalam kalangan pekerja swasta di Malaysia.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr.

Ghazali berkata, pemberian insentif itu diikat dengan komitmen meningkatkan produktiviti pekerja dan ia menjadi tujuan utama dalam pelan berkenaan khususnya untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Malah, katanya, kerajaan berharap dapat meningkatkan kadar pampasan pekerja (CE) dari 32 peratus kepada 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025 seiring dengan pelan ekonomi Madani yang menyasarkan CE mencapai 45 peratus menjelang 2030. 

“Ia dilaksanakan sebagai usaha untuk mengembalikan kadar CE tertinggi iaitu 37.4 peratus pada tahun 2020 dan kemudian mengalami penurunan akibat krisis pandemik Covid-19.

“Ada sekitar dua tahun untuk meningkatkannya sebanyak 8 peratus dan ini merupakan satu cabaran besar,” katanya dalam satu kenyataan lapor Utusan.

Menurut box article Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018, meskipun produktiviti pekerja Malaysia setara dengan negara setanding, ganjaran yang diterima masih lebih rendah. 

Sebagai contoh, pekerja di Malaysia dibayar AS$340 untuk menghasilkan pengeluaran bernilai AS$1,000 sementara pekerja di negara setanding dibayar AS$510.80.

Sementara itu, Azlan berkata, dalam usaha menangani gaji pekerja rendah, kerajaan mengumumkan intervensi yang memerlukan peruntukan fiskal dengan anggaran tahun pertama sebanyak RM2 hingga RM5 bilion. 

Tambahnya, pelaksanaan itu diharapkan dapat memberikan insentif kepada majikan untuk meningkatkan gaji pekerja agar mereka lebih berdaya saing dengan pasaran buruh antarabangsa.

Katanya, analisis menunjukkan pasaran buruh di Malaysia tidak memberikan ganjaran yang setimpal dengan peningkatan produktiviti pekerja.

“Ganjaran yang rendah untuk produktiviti yang sama ini berlaku di hampir semua sektor utama pekerjaan.

“Peningkatan produktiviti adalah penting bagi memajukan negara, namun, sekiranya majikan tidak meletakkan nilai yang sewajarnya, usaha meningkatkan produktiviti berkemungkinan tidak memberi hasil yang diharapkan.

“Malah dalam jangka masa panjang, peningkatan produktiviti tidak lagi menjadi keutamaan dalam pembangunan kerjaya,” katanya.

Baca juga: