Morales ucap selamat tinggal pada KL City

Pemain naturalisasi yang juga menjadi ‘muka depan’ pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Romel Morales mengesahkan dirinya meninggalkan skuad tersebut selepas tiga tahun bersama.

Perkara tersebut dinyatakan olehnya menerusi hantaran di Instagram yang mengatakan dia bakal bersama dengan pasukan lain untuk musim hadapan.

“Dari hari pertama, saya rasa sudah jadi sebahagian daripada keluarga. Setiap perlawanan, setiap sesi latihan merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

“Saya menghargai kasih sayang dan sokongan yang diberi kepada saya dalam dan luar padang. Sekarang, saya bakal membuka lembaran baru dalam karier saya.

“Tapi saya mahu anda tahu bahawa saya akan bawa anda semua bersama saya. Saya mendapat kawan untuk seumur hidup. Terima kasih untuk detik-detik menggembirakan, mengatasi cabaran bersama-sama dan membina memori yang saya akan hargai buat selamanya,” katanya.

Morales yang mula menyertai pasukan tersebut pada 2021 lalu turut menyifatkan KL City memberikan dirinya pengalaman kerja luar biasa dan menimba pengalaman baharu.

Meskipun selepas ini beliau akan bermain dengan pasukan lain, Morales menegaskan bahawa semua pengalaman dan kenangan hebat bersama KL City tidak akan dilupakan sejak menyertai kelab itu pada 2021.

Morales turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan seluruh penyokong KL City yang membantunya sepanjang bersama kelab itu.

Meskipun tiada lagi pengumuman rasmi mengenai hala tuju kariernya selepas ini, pemain berusia 26 tahun ini dikhabarkan akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Selama tiga tahun bersama KL City, Morales membawa kejayaan terutama dengan membantu kelab menjuarai Piala Malaysia selepas mengalahkan JDT 2-0 pada 2021.

Morales juga turut menjadi sebahagian daripada skuad City Boys yang mencipta sejarah muncul naib juara Piala AFC tahun lalu selain bergelar naib juara Piala FA musim ini.

Untuk rekod, sepanjang bersama KL City, Morales merekodkan 81 penampilan dan menghasilkan 25 gol dan enam bantuan gol.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2023/12/31/penunggang-motorsikal-maut-bertembung-kereta/

Anda Mungkin Berminat