Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan beliau kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Zulkafperi, beliau membuat keputusan ini kerana sedar akan keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit.
“Keputusan ini adalah untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen saya terus terbela dan akan mendapat manfaat termasuk peningkatan infrastruktur serta keperluan setempat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zulkafperi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan bahawa beliau tidak akan mengkhianati dan masih setia bersama parti.
“Saya tegaskan sokongan ini tiada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan ini dengan sepenuh hati untuk kepentingan Tanjong Karang.
“Saya masih setia, dan tidak akan mengkhianati Bersatu, namun saya ingin menyatakan sokongan kepada kerajaan pusat yang dipimpin Perdana Menteri atas inisiatif kepada kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya lagi.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga menyeru semua penduduk untuk bekerjasama dan menyokong kerajaan Madani atas dasar dan inisiatif yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat.
Untuk info, Zulkafperi merupakan ahli parlimen Perikatan Nasional keenam yang menyatakan sokongan terhadap teraju utama kerajaan Madani, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baca juga: