Geng samseng bakar mercun, menghalang lalu lintas ditahan

Seramai 12 individu ditahan bagi membantu kejadian membakar mercun dan mengahalang lalu lintas di Kayu Ara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bahagian siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, telah mengesan video berdurasi 22 saat tular di Facebook, memaparkan seorang individu membakar mercun dan sambil menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat.

Seterusnya, diikuti dengan beberapa konvoi motosikal yang mengiringi sebuah MPV jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang menggantung kain rentang dipercayai berunsur gengsterisme.

Menurut hasil maklumat risikan, cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya, telah berjaya menangkap 12 lelaki tempatan berusia antara lingkungan 22 hingga 68 tahun di Kampung Sungai Kayu Ara yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abd Hamid selaku Asisten Komisioner Polis berkata, enam daripada mereka terlibat dalam rekod jenayah lampau.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau, 6 daripada 12 Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditangkap mempunyai 7 rekod jenayah, 1 rekod dadah dan 1 senarai orang yang dikehendaki (Wanted) mengikut kes komersil di daerah Penampang, Sabah.

“Turut dirampas adalah sebuah MPV jenis Toyota Vellfire wana putih serta alat kawalan jauh.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 7(A) Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi kesalahan dibawah Akta Pertubuhan 1966, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Susulan itu, kesemua (12) OKT yang ditangkap telah dibawa kehadapan Majistret Mahkamah Petaling Jaya pada 2 Februari 2024 dan permohonan reman dibenarkan bagi (B1) hingga (B3) selama 1 hari dan (B4) hingga (B12) selama 4 hari sehingga 5 Februari 2024.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat