PM mohon kerjasama rakyat membanteras kegiatan rasuah

Tiada sikap kompromi atau tolak ansur sekiranya ada dalam barisan Jemaah Menteri yang terlibat dalam aktiviti rasuah.

Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang agresif menghapuskan anasir negatif itu dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam.

Katanya, sekiranya terdapat maklumat perkara itu berlaku, individu tidak perlu gentar untuk membuat aduan atau laporan.

“Jika ada Jemaah Menteri yang terlibat dalam rasuah, ya bongkar. Tetapi, kita jangan menafikan perasuah yang selama ini sudah berleluasa.

“Saya sudah mengatakan dengan barisan Jemaah Menteri, sekiranya ada, kerajaan sekarang tidak akan bertolak ansur,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

Pada masa sama, Anwar turut meminta agar penjawat awam dapat bersama-sama mengatasi masalah rasuah bagi menjamin masa depan negara.

Tegasnya, jumlah wang yang telah ‘dirompak’ oleh individu tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung telah menafikan hak rakyat.

“Bayangkan kalau kita dapat selamatkan RM10bilion ini, apa yang ktia dapatkan, kita puilangkan semula kepada semua. Noktahkan kemiskinan, pendidikan yang terbaik di semua negeri dan wilayah.

“Saya berharap penekanan ini beri manfaat, tanggungjawab agama, bangsa, budaya semua. Kita meski bermula dengan tatakelola yang baik,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, usaha Anwar membanteras kegiatan rasuah mendapat sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja-Raja terhadap langkah kerajaan mempertingkatkan tatakelola bagi membersihkan negara daripada amalan rasuah.

Baca juga: