Razarudin Husain buat lawatan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan

Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengadakan lawatan kerja ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) yang terletak di Sungkai, Perak pada Isnin lalu.

Dalam lawatan hampir dua jam itu, KPN bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman menerima taklimat daripada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkenaan operasi.

Beliau turut menyaksikan sendiri inisiatif konservasi hidupan liar NWRC di samping melihat dengan lebih dekat harimau yang diberi jolokan ‘Yeop Kuang’.

Selain itu, taklimat mengenai pembiakan Harimau Malaya dan pengambilan sampel biak disampaikan oleh Penolong Pegawai NWRC, Encik Nik Mohamad Zamani Awang kepada KPN.

Delegasi KPN juga telah dibawa melawat Kompleks Harimau sambil menerima taklimat oleh Ketua Pusat NWRC, Encik Ishak Muhamad berikutan beberapa ekor harimau yang ditangkap atau dipindahkan dari zoo untuk dirawat dan menjalani proses pembiakan.

Tujuan lawatan tersebut menunjukkan usaha NWRC dalam usaha menyelamatkan hidupan liar daripada kecederaan, penyeludupan, rampasan dan serahan di Semenanjung Malaysia.

Tambahan itu, delegasi KPN sempat melawat hidupan liar lain seperti beruang, monyet, burung, tapir, seladang dan reptilia ular yang ditempatkan dalam pusat tersebut.

Turut hadir sama, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Sri Mohd Kamarudin Md Din, Ketua Polis Perak, Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri, Pengerusi PERKEP KDNKA, Datin Sri Johariah Urib Mohd Ariffin dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia serta PERHILITAN.

Baca juga: