Sukan Paralimpik Paris Sasar bawa pulang pingat emas, MPM letakkan semangat positif

Kontinjen Paralimpik negara mensasarkan empat pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 9 September.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya menetapkan sasaran itu untuk atlet paralimpik dan menyahut cabaran menyaksikan kontinjen negara berjaya mengumpul keseluruhan 10 emas sejak temasya Paralimpik di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

“Ini adalah sasaran awal kami (MPM), kita perlu letak penanda aras supaya kita tahu ke mana arah tuju kita. Kalau tidak letak sasaran maknanya kita boleh leka atau berasa selesa, saya tidak mahu itu berlaku.

“Sasaran itu penting kerana ia akan menjadi satu garis panduan untuk atlet bekerja keras. Jika tidak ada sasaran, saya tidak mahu nanti rakyat cakap kita pergi untuk bercuti dan habiskan duit rakyat.

“Kami perlu memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu harus berbaloi kerana ia adalah duit rakyat, itu yang paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) MPM dan Rakan Strategik Tambah EMAS Paralimpik Paris 2024.

Sementara itu, Megat optimis Malaysia akan dibarisi lebih daripada 20 atlet bagi menggalas cabaran negara di Sukan Paralimpik tahun ini dengan sembilan atlet sudah pun melayakkan diri ke temasya di Paris itu.

Beliau, berkata sembilan atlet berkenaan terdiri daripada tiga atlet berbasikal selain masing-masing dua daripada sukan renang, memanah dan olahraga.

Menurut Sinar Harian, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang tiga emas di Paralimpik Rio 2016 dan di Tokyo 2020.

Baca juga: