Agong mahu kerajaan rancang pembangunan sama rata di semua negeri, kawal penghijrahan ke ibu kota

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar pembangunan dijalankan secara saksama buat semua bandar dalam negeri untuk mengurangkan penghijrahan ke Kuala Lumpur.

Baginda bertitah mengatakan pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri ke Wilayah Persekutuan.

“Sekiranya pembangunan disetarakan buat setiap bandar dalam negeri, penghijrahan penduduk ke pusat bandaraya akan dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Baginda turut menegur keadaan jalan raya yang tidak memuaskan di samping kebersihan kawasan sekeliling Kuala Lumpur yang tidak memuaskan dan menasihati orang ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

“Semua orang tahu saya suka memandu sendiri, jadi saya dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya dan persekitaraannya.

“Apa yang saya nampak, masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kebersihannya tidak memuaskan,” titah Baginda.

Seri Paduka bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara pada Selasa.

Berangkat sama, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Baca juga: