Anggota Perhilitan cedera dirempuh gajah liar di Terengganu

Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu cedera di belakang badan selepas dirempuh seekor gajah liar di Hutan Felda Cerul, Cheneh, Kemaman, Terengganu pada Isnin.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 50-an bersama lapan lagi anggota Perhilitan sedang membuat pemantauan hidupan liar di kawasan hutan berkenaan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohd Hafiezul Mohamad, seramai 14 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.06 petang.

“Kejadian itu berlaku pada jam 2 petang apabila mangsa bersama lapan lagi anggota Perhilitan lain sedang dalam operasi pemantauan haiwan liar.

“Mangsa bersama rakan-rakan sekerja lain sedang dalam perjalanan keluar dari hutan, namun tiba-tiba seekor gajah muncul dari arah belakang mereka secara meluru dan kemudian merempuh mangsa.

“Mangsa yang tidak menyedari kehadiran haiwan liar itu telah tercampak ke atas tanah akibat terkena belalai gajah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan.

Tambah Hafiezul, mangsa ketika itu berada dalam keadaan sedar, namun tidak dapat bergerak terpaksa dibawa keluar dengan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan.

Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Kemaman menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba untuk rawatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat