Pang Sock Tao mahu pastikan penduduk Kuala Kubu Baharu menikmati program kerajaan negeri sepenuhnya

Calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao mahu memastikan tiada penduduk di kawasan itu tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan negeri.

Pang ditemui pemberita selepas satu program ramah mesra bersama penduduk di Rasa, Batang Kali Selangor pada Khamis berkata, perhatian akan diberikan bagi memastikan penduduk kawasan itu mendapat manfaat terkandung dalam program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Banyak inisiatif dilaksanakan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) jadi kita fokus untuk menang.

“Selain memastikan masyarakat mendapat manfaat ISP, saya juga akan membantu peningkatan ekonomi.

“Kita juga mahu jana ekonomi berlandaskan pelancongan. Ini peluang keemasan yang perlu kita ambil,” katanya yang turut menggesa pengundi membuat pilihan bijak pada hari pengundian 11 Mei akan datang.

Selangor merupakan negeri yang miliki program kebajikan rakyat tertinggi antaranya pendidikan, kesihatan serta ekonomi yang bertujuan merapatkan jurang dalam masyarakat.

Sehingga kini, Selangor memiliki 46 pelan kebajikan kepada rakyat menerusi ISP dengan peruntukan lebih RM600 juta setahun dan semua skim ditambah baik dari semasa ke semasa.

Anda Mungkin Berminat