Global

Perdana Menteri Denmark dipukul

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dipukul seorang lelaki semalam ketika berada di Dataran Copenhagen. 

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan kepada AFP memaklumkan Frederiksen amat terkejut dengan insiden yang berlaku, namun tidak memberikan butiran lanjut.

“Perdana Menteri Mette Frederiksen dipukul seorang lelaki pada petang Jumaat di Kultorvet di Copenhagen. Lelaki itu sudah pun ditahan,” kata kenyataan itu.

Dua saksi, Marie Adrian dan Anna Ravn memberitahu akhbar BT, ketika kejadian mereka sedang duduk di tepi air pancut dan melihat Frederiksen tiba di dataran kira-kira 6.00 petang (1600 GMT).

“Seorang lelaki datang dari arah bertentangan dan kemudian menolak bahunya dengan kuat menyebabkan beliau (Frederiksen) terjatuh ke tepi,” kata dua wanita itu.

Menurut mereka, walaupun ia tolakan yang kuat, Frederiksen tidak jatuh ke tanah. Perdana menteri itu kemudiannya dibawa ke kafe berhampiran.

Mereka menggambarkan suspek adalah seorang yang tinggi dan kurus. Lelaki itu berjaya ditahan oleh pengiring perdana menteri ketika cuba melarikan diri.

Insiden berlaku susulan serangan bertubi-tubi terhadap ahli politik di tempat kerja atau semasa kempen di Jerman menjelang pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) minggu ini.

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico ditembak empat kali dari jarak dekat ketika beliau menyapa penyokongnya selepas mesyuarat kerajaan di tengah bandar Handlova.

Fico yang terselamat daripada cubaan bunuh itu dibawa ke hospital di bandar berhampiran serta menjalani dua pembedahan yang panjang.

Ketua EU, Charles Michel dan Presiden Parlimen Eropah Roberta Metsola pada Jumaat menyelar serangan ke atas Frederiksen.

Metsola menggesa ketua kerajaan Denmark untuk kekal utuh, sambil menambah dalam catatan di X bahawa “keganasan tidak mempunyai tempat dalam politik”.

Michel pula mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengecut itu.

Menteri Alam Sekitar Denmark, Magnus Heunicke dalam hantaran di media sosial pula menyifatkan kejadian itu mengejutkan.

“Sesuatu seperti ini tidak boleh berlaku di negara kita yang indah, selamat dan bebas,” katanya.

Terdahulu, Polis Copenhagen mengesahkan insiden berlaku tetapi tidak mengulas lanjut.

“Kami menahan seorang suspek susulan kes dan sedang menyiasat secara lanjut. Buat masa ini, tiada komen atau kenyataan lanjut mengenai kes,” kata pihak berkuasa itu.

Pada 2019, Frederiksen menjadi perdana menteri termuda negara itu dan mengekalkan jawatan selepas muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya umum 2022.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close