Negeri

2 lelaki maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan

Dua penjenayah maut selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Abad, Taman Abad, Johor Bahru pada petang Jumaat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian polis berbalas tembakan pada pukul 5.04 petang.

Menurutnya, seorang suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka.

“Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

“Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek, kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut telah terkena tembakan dan meninggal dunia.

Ujarnya, semakan dibuat mendapati suspek berusia 42 tahun mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti identiti selepas tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan telah menjumpai dua pucuk pistol di dalam kenderaan dinaiki suspek itu.

“Polis turut menjumpai sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek. Turut ditemui pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden berbalas tembakan itu yang mengejutkan penduduk setempat dan video anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh selepas Jalan Abad buat sementara waktu.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close