‘Selangor FC hanya selangkah rebut trofi’ – Ketua Jurulatih

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Hanya selangkah sahaja buat pasukan Selangor FC menjulang trofi Piala FA, itu kata Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil yang mengidamkan kemenangan pada perlawanan menentang Pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil, malam esok.

Selaku pasukan yang mempunyai rekod terbaik di Piala FA, Nidzam tidak menafikan ‘The Red Giants’ mempunyai cita-cita untuk merebut trofi itu.

“Tidak habis lagi yang tidak dihabiskan, ianya perlawanan 90 minit. Kita ada perasaan dan kita tidak menafikan kita juga ada cita-cita.

“Sekarang kita sudah ada di pentas final, hanya beberapa langkah sahaja lagi yang memisahkan kita dengan piala. Cuma kita nak pastikan kita bermain dengan baik dan kita berfikiran positif dan dalam masa yang sama, pemain turut menantikan untuk bermain di atas padang esok,” katanya ketika sesi sidang media di Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Hannah Yeoh turut menyeru agar semua penyokong yang hadir di aksi Akhir Piala FA di Stadium pada Sabtu ini dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya harap cuaca yang baik sepanjang perlawanan pada malam itu dan semuanya akan berjalan lancar. Saya juga harap penonton akan tunjuk semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri majlis penutup Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tetapi timbalan (Adam Adli) akan hadir ke perlawanan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kenderaan Chery kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris.

Pertembungan malam esok dianggap bakal menjadi pertembungan hangat apabila pasukan Selangor yang juga merupakan juara Piala FA sebanyak tiga kali dan naib juara tiga kali.

Manakala bagi pasukan JDT, mereka mempunyai keinginan dalam melengkapkan hatrik kemenangan setelah menjulang Trofi Piala FA pada edisi 2022 dan 2023.