Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Operasi menyelamat dan mencari (SAR) mangsa Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos masih diteruskan sehingga kini.
Memasuki hari keenam, pelbagai agensi turun membantu mencari mangsa termasuk menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Malah, usaha mengesan menggunakan teknologi juga menjadi tumpuan apabila alat pengesan daripada Agensi Nuklear Malaysia iaitu Radar Tembus Tanah atau Ground Penetrating Radar (GPR) dikeluarkan.
Apa itu GPR dan bagaimana alat tersebut berfungsi?
Menurut perkongsian Nuklear Malaysia dan beberapa laporan media tempatan, GPR merupakan salah satu kaedah Ujian Tanpa Musnah atau Non Destructive Testing (NDT) yang menggunakan gelombang elektromagnet untuk mengesan isyarat yang dipantulkan daripada struktur sub-permukaan.
Difahamkan, GPR ini berpotensi digunakan di kawasan pencarian mangsa tanah runtuh kerana ia merupakan teknik tidak memusnah untuk pengimejan bawah tanah yang mempunyai pengimbasan berkelajuan tinggi (high-speed scanning) dan tafsiran di tapak (on-site interpretation) boleh dilakukan dengan segera.
Alat ini juga berkemampuan mengesan mangsa jika berada di bawah tanah pada kedalaman empat hingga enam meter daripada permukaan tanah.
Isyarat pantulan yang dihasilkan oleh GPR bergantung kepada bahan yang mempunyai sifat kekonduksian elektrik (electrical conductivity) yang berbeza dan ketelusan dielektrik (dielectric permittivity) bahan berkenaan.
Peristiwa Penting GPR Digunakan
Ini bukan kali pertama Agensi Nuklear Malaysia menyertai misi kerjasama menggunakan alat GPR, sebelum ini kumpulan pakar Nuklear Malaysia pernah menjayakan operasi mengesan rangka mayat tentera Komanwel beserta ahli keluarga dalam Ops Reunite bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Australia pada tahun 2016.
Misi itu berjaya menjumpai 32 rangka mayat manakala dalam Ops Te Auraki bersama ATM dan New Zealand pada tahun 2017 sebanyak 27 rangka mayat ditemui.
Selain itu, GPR pernah digunakan dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali yang berlaku pada 18 Disember 2023, mengorbankan 31 orang daripada 92 mangsa.
Alat ini bukan sahaja berupaya membantu mengesan objek asing di bawah permukaan tanah untuk kes mencari dan menyelamat mangsa, malah GPR juga boleh digunakan untuk tujuan mengesan kubur perang, pengesanan utiliti bawah tanah, pengesanan artifak arkeologi, pengesanan lompang bawah permukaan dan pemeriksaan konkrit.