Lelaki maut lori terhumban dalam laut

Oleh: Farah Faizal

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia selepas terminal traktor dipandunya terhumban ke dalam laut di dermaga, Westport Pulau Indah, Klang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden membabitkan mangsa berusia 24 tahun itu sekitar pukul 12.27 tengahari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa didapati telah hilang kawalan ketika dalam perjalanan menghantar sebuah kontena seberat 30 tan sebelum terjunam ke dalam laut.

“Pada jam lebih kurang 5 petang, mangsa telah dijumpai di daam laut pada kedalaman 13 meter dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mangsa telah dihantar ke jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Mengulas lanjut, usaha untuk mengesan dan menyelamat mangsa telah dilakukan serta merta oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Klang dan Westport, pasukan Polis Marin dan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Pihak polis juga mendapati setakat ini tiada sebarang unsur-unsur jenayah yang wujud dan telah membuka satu kertas siasatan mati mengejut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Anda Mungkin Berminat