Khabib ikon sukan berprinsip – Mat Sabu

Oleh: Shafira Aziz

IKON sukan seperti Khabib Nurmagomedov bukan sahaja memberi inspirasi di dalam gelanggang tetapi juga di luar, terutamanya dalam mendidik generasi muda untuk berpegang teguh dengan prinsip diri.

Kata-kata itu dilontarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tatkala bertentang mata dengan legenda seni mempertahankan diri itu pada Ahad.

“Ia melambangkan satu hubungan yang lebih mendalam, mengaitkan prinsip perjuangan dalam sukan dan kehidupan.

“Saya rasa berbesar hati kerana Khabib tetap berusaha untuk datang juga ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Sabu turut berkongsi tentang pertemuannya dengan Mufti Besar Persekutuan Rusia, Sheikh Rawil Gaynetdin, pada Mei tahun lalu di Moscow, di mana beliau menyampaikan hasrat untuk menjemput Khabib ke Pameran MAHA 2024.

“Khabib bukan sahaja ikon dalam UFC, tetapi juga contoh teladan kepada generasi muda, terutamanya dalam memegang teguh prinsip dan nilai walau dalam apa jua cabaran.

“Pertemuan ini mengingatkan Bang Mat betapa pentingnya kita terus berusaha dan setia pada prinsip – sama ada dalam arena politik, sukan, atau kehidupan harian,” katanya